Selasa, 7 Disember 2010

HIJRAH RASULULLAH

Bagi Rasulullah s.a.w., tugas dakwah bukanlah kerja mudah yang boleh diputuskan sama ada menang atau gagal dalam masa yang singkat. Emosi dan rasa hilang sabar sama sekali tidak mendatangkan keuntungan untuk perjuangan yang memakan masa yang paling panjang dan pengorbanan yang bukan sedikit. Oleh itu langkah berhijrah merupakan tindakan yang paling tepat dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum kembali mengorak langkah dengan penuh terancang.
Setelah tiba di Madinah, tugas pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Baginda juga terus mengasaskan masjid yang pertama sebagai tempat ibadat iaitu tempat penyatuan hati umat Islam, penyebaran ilmu, bersyura dan juga sebagai syiar Islam. Seterusnya baginda menukar nama Yathrib kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang barcahaya dan memeterai piagam Madinah yang mengutamakan perpaduan ummah. Baginda juga berusaha menjalinkan hubungan dengan semua kabilah dan penduduk tempatan, mengatur strategi membasmi kemiskinan, memberi keutamaan kepada tarbiyah dan memperkuatkan sistem pertahanan keselamatan untuk semua.
Pendek kata, hijrah sebenarnya telah mengakhiri fasa pertama dakwah di Mekah yang melalui seribu satu cabaran yang amat sukar. Hijrah telah berjaya mengeluarkan umat Islam pertama daripada hidup bermusuhan dan perpecahan yang menyakitkan kepada kesatuan dan perpaduan ummah. Keadaan selesa inilah yang dimanfaatkan oleh Rasulullah s.a.w.. dan para sahabat r.a. untuk mempergiatkan usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Bermula daripada hijrah agung inilah, maka Islam terus berapak dan menuntut umatnya bersedia untuk berhijrah dan terus melaksanakan tuntutan hijrah secara berterusan pada setiap masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan