Jumaat, 10 Disember 2010

Usah Ungkit Kebaikan Dibuat

alt
Ada banyak perkara yang kita tidak boleh lupa. Kita tidak lupa ibu bapa, kita ingat harta benda dan antara yang kita tidak lupa ialah kebaikan yang pernah kita lakukan.

Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita berjasa, teringat jasa kita. Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung sesama manusia.

Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas:

1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.

2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.

3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa yang kita buat.
Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan, menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan.
Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."
Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan sekali ungkitan.

4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita.

Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita perlu melawan supaya kita boleh lupakan kejahatan orang lain.

Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita, malah menjadikan hidup kita tidak ceria.

Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.

Tips Bangun Subuh

Ramai di kalangan kita yang mengalami kesukaran untuk bangun awal pagi dan mendirikan solat Subuh di awal waktu.
Masalah ini terjadi atas beberapa sebab; antaranya ia telah menjadi tabiat, tidur lewat dan perasaan malas.
Berikut adalah beberapa panduan atau tips yang boleh dicuba oleh kita bagi mengatasi masalah ini :

1. Tidur awal; sekitar 10 atau 11 malam supaya tidur anda mencukupi.
2. Ambil wuduk sebelum tidur.
3. Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.
4. Baca surah Al-Mulk, tiga Qul dan doa sebelum tidur.
5. Pasangkan niat; 'Aku nak bangun pukul sekian kerana Allah.'
6. Maafkan semua orang sebelum tidur.
7. Elakkan makan makanan berat sebelum tidur.
8. Elak diri dari melakukan maksiat sebelum tidur.
9. Gunakan jam loceng atau alarm di telefon bimbit untuk membantu anda. Pastikan ia berkualiti.
10. Minta tolong orang lain seperti ibu atau rakan untuk mengejutkan anda. Mungkin minta mereka simbahkan air atau urut ibu jari anda sekiranya masih sukar untuk bangun!

Panduan di atas memerlukan sedikit latihan. Namun insyaAllah, Allah pasti tolong kita sekiranya kita MAHU.

Bencana Lidah

alt
Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.

Allah telah berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji." (Surah l-Maidah : 1)
Allah s.w.t. telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitab-Nya yang mulia dengan firman-Nya:

"Sesungguhnya dia (Ismail) adalah benar janjinya." (Surah Maryam : 54)
Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata:
"Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku."

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya:
"Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata:

"Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu."

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, niscaya dia akan berkata: "InsyaAllah."
Cara beginilah yang lebih baik. Sesudah berkata InsyaAllah, jika ia memang faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya.
Maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanah dia khianati."

Sabda Baginda yang lain:
"Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, dia siang-siang telah berazam untuk menyalahi janjinya ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.
Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu tiadalah terkira seorang munafik meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya.

Namun sebaik-baiknya, hendaklah dia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu sebagaimana dia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga; iaitu apabila berjanji, cari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Sahabat.. ketahuilah. Apabila dimungkiri, ia sakit dan pedih. Jadi hindarilah dari memungkiri janji.

Balaslah Kejahatan Dengan Kebaikan

alt
Di satu sudut pasar Madinah Al- Munawarah ada seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, "Wahai saudaraku janganlah kamu dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya."

Namun tanpa disedari pengemis Yahudi buta, setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari sehinggalah ke saat kewafatannya.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu Anhu (RA) berkunjung ke rumah anaknya Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?"
Aisyah menjawab pertayaan ayahnya, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja."

"Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.
"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapkan nasi, si pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?"
Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis buta itu.
"Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut," pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Beliau adalah Muhammad Rasulullah SAW."

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya. Dia tidak pernah memarahiku walau sedikit pun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.."

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu Bakar RA.

Kenapa Arak Memabukkan?

alt
"Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Al-Maidah : 90)
Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan Negara ke-10 terbesar dalam pengambilan arak di dunia? Malah, pada tahun 1996 (iaitu lebih sepuluh tahun yang lalu), cukai penjualan arak sahaja mencecah sekurang-kurangnya RM 817 juta. Menurut majalah The Globe Magazine, Syarikat Carlsberg AS of Denmark telah memahkotakan Malaysia sebagai "very important and attractive market" dengan melabur sebanyak US$ 20 juta bagi menghasilkan sekurang-kurangnya 125 juta liter arak setahun.

Mari kita tinjau makhluk ciptaan Allah yang tak berdosa ini ketika kehidupannya di peringkat zarah. Arak atau nama popularnya alkohol terdiri daripada unit-unit kecil karbon, hidrogen dan oksigen yang dipanggil ethyl alkohol ataupun ethanol.

Maha Suci Allah, manusia juga mempunyai unsur karbon, oksigen dan hidrogen tapi mengapa seorang manusia tu tidak dipanggil seorang alkohol, walaupun terdiri daripada unsur yang sama?
Kerana masing-masing mempunya ikatan (bond) yang berbeza. Selain itu, manusia juga mempunyai gabungan unsur-unsur lain (bukan hanya karbon,oksigen dan hidrogen) dan semestinya, manusia mempunyai ruh yang tak dapat diterangkan dengan huruf-huruf.

Arak yang berada di pasaran selalunya mempunyai harga yang berbeza-beza, mengapa ya? Pertama, bergantung kepada tarikh arak tersebut dihasilkan. Kebiasaannya, semakin lama arak tersebut diperam, semakin melambung harganya.

Beer, Winw, Champagne, Vodka, Whiskey:
Keduanya, bergantung kepada komposisi peratusan alkohol dalam arak tersebut. Secara puratanya, beer mengandungi 4.5% alkohol, wine 11%, champagne 12%, manakala distilled spirits seperti rum, gin, vodka, dan whiskey mengandungi 45-95% alkohol.

Perbuatan minum arak secara "tipu-tipu" dan olok-olok seperti merapatkan gelas ke mulut tetapi mengetap bibir sekuat hati supaya cecair tersebut tidak masuk ke dalam mulut adalah perbuatan yang amat membahayakan. Apatah lagi meminumya.

Hal ini kerana, saat pertama alkohol diserap masuk ke dalam badan adalah ketika titisan cecair laknat tersebut menyentuh permukaan bibir pelaku.....dan gulp.

Apabila seseorang menelan alkohol sama ada sengaja atau tidak, ia mula diserap melalui dinding mulut, esofagus, dinding perut dan paling banyak sekali pada permukaan usus. Permukaan yang bersentuhan dengan alkohol seringkali mengalami hakisan.

Molekul-molekul alkohol tersebut akan mengembara merentasi bukaan dinding kapilari kerana sifat semulajadinya yang "melarut". Sekiranya terdapat anugerah "Paling Terlarut" antara unsur-unsur di bumi, pasti keluarga alkohol bakal menjuarainya kerana kebolehan mereka untuk larut dalam lemak dan air.

Bersama dengan teman-teman komponen darah yang lain, mereka akan berhijrah bersama mengelilingi seluruh badan manusia (circulation), mengintai-intai peluang menyelinap masuk ke dalam sel-sel badan.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu, molekul alkohol berjaya melawan tarikan graviti, meletakkan mereka ditempat yang terpuji lagi tinggi, dalam erti kata lain mereka berjaya sampai di bahagian kepala, lalu berkenalan dengan suatu struktur luar biasa (subhanallah) iaitu.."Pemisah Darah dari Otak", atau lebih senang dengan panggilan Blood Brain Barrier (BBB).

Arak, Jus Anggur dan Tapai:
Hal ini merupakan fakta yang sangat penting. Kebolehan alkohol merentasi BBB memisahkannya dengan makhluk Allah yang lain. Contohnya, jus anggur dan tapai yang mampu menghasilkan arak sekiranya diperam dengan lebih lama , tidak termasuk dalam kategori "boleh merentasi Blood Brain Barrier", seterusnya halal dimakan.

Mengapa demikian? Kerana apa-apa unsur (bukan semua, terdapat pengecualian) yang boleh merentasi BBB mampu menjejaskan struktur dalaman otak seperti cerebral cortex, limbic system, cerebellum, hypothalamus serta medulla. Kombinasi kerosakan pada bahagian-bahagian otak yang berbeza inilah yang dipanggil "mabuk".